Tapak Makam Raja Haji di Tepi Sekolah Henry Gurney?
Saya masih ingat ketika saya praktikal di Pejabat Peguam Negara (AG Chambers) tahun 2016. Ketika itu timbul detik ilham dalam hati, saya mahu melawat kawasan-kawasan sejarah yang ada di Tanah Melayu.
Antara tapak sejarah yang terdetik dalam hati saya, saya ingin melawat tapak makam Raja Haji Fi Sabilillah di Teluk Mas, Melaka. Saya menyewa di Taman Reko Mutiara, Kajang ketika itu. Dari Kajang, saya turun ke Melaka semata-mata mahu mencari tapak makam!
Siapakah Raja Haji Fi Sabilillah? Beliau syahid
ketika melawan Belanda. Beliau diiktiraf Pahlawan Nasional Indonesia. Masjid di
Cyberjaya diberi namanya. Itulah legasi seorang pahlawan, Raja Haji Fi Sabilillah
dikenang zaman.
Raja Haji Fi Sabilillah (1727-1784) |
Raja Haji ibni Opu Daeng Chelak, Yamtuan Muda Riau ke-4 ialah adinda kepada Sultan Selangor pertama, Sultan Salehuddin (1756-1777). Beliau merupakan sebahagian dari kerabat istana Selangor.
Beliau bersama anak
saudara beliau, Sultan Ibrahim (Sultan Selangor kedua) berjuang menentang
angkatan Belanda bermati-matian mempertahankan Kota Kuala Selangor. Disebabkan beliau terlalu benci kepada penjajah,
beliau telah memimpin angkatan Melayu dan Bugis mahu menghalau Belanda keluar
dari Kota Melaka pada tahun 1784.
Sayang
sekali, nama beliau tiada disebut dalam buku teks sekolah. Anak muda ramai
tidak mengenali beliau, kerabat diraja Selangor yang diangkat menjadi Pahlawan
Nasional Indonesia. Beliau tidak begitu dikenali, sedangkan namanya layak sebaris
dengan Dol Said, Dato’ Maharajalela, Mat Kilau dan Rosli Dhoby. Nama mereka
dikenang kerana melawan penjajah British, Raja Haji pula syahid mahu menghalau
penjajah Belanda!
Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya |
300 tahun
dahulu, beliau telah memimpin serangan besar-besaran mahu menghalau penjajah
Belanda yang memerintah Kota Melaka. Raja Haji telah mendarat di Teluk Ketapang,
Melaka pada 13 Februari 1784 dalam usahanya menyerang Melaka mengharapkan
ganjaran fi sabililillah. Di Tanjung Palas, beliau membina kubu pertahanan.
Bandar Melaka dibedil angkatan Raja Haji selama berbulan-bulan. Hampir setiap
malam petempatan Belanda diserang angkatan Bugis pimpinan Raja Haji. Belanda
hidup dalam ketakutan, siang dan malam dibedil berterusan.
Gabenor Belanda
Melaka meminta bantuan Gabenor Jeneral Belanda di Betawi kerana serangan Raja
Haji semakin hari, semakin dahsyat. Satu angkatan kapal perang besar Belanda
dari Betawi telah sampai di Melaka dipimpin panglima Jacob Pieter van Braam. 6
kapal perang besar, tentera seramai 2130 orang dan 326 pucuk telah tiba di
Melaka, mahu membalas dendam atas serangan Raja Haji!
Raja Haji
mencari syahid, dan akhirnya syahidlah yang beliau temui. Pada satu malam yang
hening, angkatan Belanda dipimpin Jacob
Pieter van Braam telah membedil kubu beliau secara besar-besaran. Pada tarikh 18
Jun 1784, ketika tangan kiri beliau berpegang Kitab Dalail Khairat dan tangan
kanan memegang badik pusaka, beliau telah ditembak dengan meriam penjajah durjana.
Syahidlah Raja Haji di Teluk Ketapang dalam perjuangannya memukul Belanda.
Matinya beliau di jalan Allah, beliau digelar “Fi Sabililillah” sehingga hari
ini. Beliau juga turut digelar “Marhum Teluk Ketapang” kerana bumi Teluk
Ketapang menjadi saksi tumpahnya darah seorang syuhada’.
Jenazah Raja
Haji Fisabilillah disemadikan sementara di Melaka sebelum dipindahkan
keluarganya ke Riau. Makam beliau hari ini berada di Pulau Penyengat dan
menjadi tumpuan utama penziarah. Bagi saya, tidak lengkap membaca riwayat
seorang tokoh jika tidak menziarahi pusaranya.
Namun, hati masih
tidak puas. Saya mahu melihat bekas peninggalan Raja Haji! Saya terfikir, di
mana bekas tapak makam beliau di Melaka?
Menurut
Munsyi Abdullah Kadir dalam bukunya Hikayat Abdullah, Raja Haji Fisabilillah
khabarnya disemadikan di belakang kandang babi! Menurut beliau:
“Sebermula di balik kebun kompeni itulah ditanamkan Raja Haji. Iaitu
seorang Raja Melayu yang berkuasa adanya. Asalnya iaitu keturunan Bugis. Maka
isterinya bernama Ratu Emas. Maka ialah yang telah datang memerangi Melaka pada
zaman Holanda, maka adalah daripada zaman itu sampai masa ini kira-kira lebih
sedikit daripada 60 tahun, maka hampir-hampir dapat Melaka olehnya.
Maka berkeliling jajahan Melaka dan kampung-kampung semuanya sudah
didapatnya melainkan tinggallah Melaka bulat-bulat sahaja yang belum
didapatnya. Maka pada masa itu segala bangsa yang ada di dalam Melaka masuk
perang melawan Holanda daripada Melayu, Keling, Cina, Serani masing-masing ada
dengan kapitannya dan kepala perangnya. Maka adalah beberapa tahun diperanginya
lalu matilah Raja Haji itu dimakan peluru di Tanjung Palas nama tempatnya.
Kemudian diambil Holanda mayatnya itu ditanamkan di balik kebun yang tersebut
itu. Ada pun khabarnya yang kudengar, tempat itu kandang babi.
Kemudian ada kira-kira 20, 30 tahun di belakang datanglah anak buah-anak
buah Raja Haji itu dari Lingga dan Riau ke Melaka meminta izin kepada raja
Inggeris hendak dipindahkannya kubur itu ke Riau. Maka diberikanlah izin. Lalu
dibawanyalah pergi....”
Benarkah
beliau disemadikan di belakang kandang babi dahulu? Di manakah kawasannya hari
ini? Ada yang menyatakan beliau disemadikan di kaki Bukit St. Paul. Ada juga
yang menyatakan beliau disemadikan di sebuah kawasan di belakang Sekolah Henry
Gurney hari ini. Saya pun mengembaralah ke Melaka untuk mencari kebenaran,
benarkah pahlawan Bugis berkenaan pernah disemadikan di belakang Sekolah Henry
Gurney?
Pada 6 Ogos
2016, saya menziarahi sebuah perkampungan di Telok Mas, Melaka. Dahulu Telok
Mas dikenali sebagai “Teluk Ketapang”. Di sinilah dahulu, berkubu pahlawan
nasional Indonesia dalam perancangan menghalau Belanda dari Melaka.
Saya
bertemu dengan Pak Cik Ghani, seorang penduduk kampung di situ. Beliau
memberitahu saya di hujung belakang kawasan rumahnya, terdapat sebuah kawasan
bersemak. Di situlah dahulu bersemadinya Raja Haji Fi Sabilillah!
Sangat menyedihkan,
kawasan bersejarah itu terbiar menjadi belukar. Kata Pak Cik Ghani, di situ
dahulu ada sebuah pondok menandakan tapak makam Raja Haji. Namun pondok makam
dirobohkan kerana anak muda melakukan perbuatan khurafat di situ. Aduhai! Setelah
pondok diruntuhkan, akhirnya kawasan itu pun terbiar tidak dipedulikan. Kata
Pak Cik Ghani lagi, dahulu pihak Jabatan Warisan pernah datang melawat kawasan
berkenaan, namun sehingga hari ini, kawasan tersebut masih terbiar.
Aduhai
sayang! Kawasan sejarah terbiar tidak dipeduli orang!
Saya pun
melangkah perlahan ke arah kawasan belukar berkenaan. Kawasan ini berada di
luar pagar, belakang Sekolah Henry Gurney. Sedih hatiku melihat kawasan
berkenaan. Khabarnya dahulu ada batu merah sebagai tanda makam Raja Haji.
Namun, semak sudah menutup tapak bersejarah bangsa Melayu.
Semak belukar memenuhi kawasan. Di sebalik semak di Teluk Mas itulah tapak makam Raja Haji Fi Sabillah ratusan tahun dahulu. |
Saya pun
pulang dengan perasaan kecewa, mengapa tapak makamnya terbiar sedemikian rupa?
Sudah beberapa kali saya lihat kawasan sejarah tidak dipedulikan pihak
berkuasa. Kubur JWW Birch, pusara Dato’ Sagor, bukit tempat kelahiran Tun Sri
Lanang dan banyak lagi kawasan bersejarah terbiar menjadi semak, menjadi ladang
sawit atau menjadi hutan belantara.
Adakah kerana persepsi sejarah tidak boleh
membuat duit, maka kawasan warisan tidak dibangunkan? Bukankah pelancongan
mampu menjana pendapatan negara? Bukankah Eropah menjaga makam-makam pahlawan
mereka?
Makam Raja Haji Fi Sabilillah di Riau Pulau Penyengat, Indonesia hari ini |
Walaupun
namanya tiada dalam buku teks sekolah, namun sebuah masjid di Cyberjaya diberi
nama Masjid Raja Haji Fisabilillah. Masjid bersenibina futuristik ini siap
dibina pada tahun 2015. Ini merupakan satu usaha yang sangat bagus untuk
memperkenalkan nama Raja Haji yang sudah dilupakan bangsa Melayu. Bekas tapak
makam beliau di Teluk Ketapang, Melaka perlu diwartakan sebagai tapak sejarah
Warisan Kebangsaan, kerana di situlah almarhum mengorbankan jiwanya demi
bangsanya.
Semoga
semangat Raja Haji Fi Sabilillah, berkorban nyawa melawan penjajah, berterusan
dikenang menjadi ibrah.
taruhan bola
ReplyDeleteslot games
tangkas88
togel online
judi casino
Berapa ruginya..begitu banyak sejarah di Melaka yang tidak diangkat. Hanya binaan Portugis, Belanda dan Inggeris sahaja yang utuh dipertahankan. Sedih...
ReplyDeletemalaysia satu2 negara yg paling tak guna soal memelihara sejarah warisan bangsa. hanya yg mereka tahu duit projek masuk kocek.
ReplyDeleteYang sebenarnya, itu adalah makam Raja Abdullah Ibni Raja Jaafar, pentadbir Klang sepertimana yang dianugerahkan dan diwasiatkan oleh Sultan Muhammad dan Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor yg ke3 dan ke4.
ReplyDeleteBeliau dimakamkan dikawasan dimana Almarhum Raja Haji Ibni Daeng Celak, Yamtuan Muda Riau Ke4 syahid ketika menentang Belanda.
Raja Abdullah Ibni Raja Jaafar mangkat sewaktu kapal yang dinaiki Almarhum dlm perjalanan meninggalkan Klang yg ketika itu bergolak dgn perang saudara diantara Almarhum dan Raja Mahadi.
Oleh kerana Almarhum Raja Abdullah adalah cucu kepada Almarhum Sultan Ali Alauddin Shah (Yamtuan Muda Riau Ke4) ibni Almarhum Daeng Kemboja (Yamtuan Muda Riau Ke3), maka dilokasi tersebutlah Almarhum Raja Abdullah Ibni Raja Jaafar dimakamkan selayaknya dgn taraf dan susurgalur Almarhum.
Salam,
DeleteBolehkah saya hendak mendapatkan maklumat lanjut mengenai makam Raja Abdullah Kelang ini?
Terima kasih.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteBukan makam tu tapi kubu ketapang, yang makam dia kt bukit saint paul
ReplyDelete